17.3.12

HUKUM MENCUKUR JANGGUT

Diantara pertanyaan yang paling kerap ditanya berkenaan janggut adalah berkenaan dengan boleh atau tidak ia dicukur. Soalan ini akan dikupas berdasarkan 4 sumber yang menyebabkan terdirinya agama ini.
4 Sumber ini ialah:
1. Kitabullah, Al Quran: Diturunkan kepada Nabi Muhammad(sawa) oleh Allah yang maha Esa
2. Hadis dari Rasulullah(sawa) dan Imam dari Ahlulbait(as): (Termasuk kata-kata, perbuatan dan persetujuan mereka terhadap satu-satu perbuatan )
3. Ijmak(kesepakatan)
4. Akal
Bagaimanapun, untuk artikel ini, persoalan ini hanya akan dikupas dari 2 sumber pertama terlebih dahulu. Kesimpulan dari analisis 4 sumber ini akan menghasilkan hukum, samada Wajib, Mustahab, Haram atau Makruh serta Mubah

Definasi Janggut

Definasi dari segi bahasa ialah rambut yang tumbuh di permukaan muka, yakni dagu dan sisi muka.
1. Janggut ialah sebahagian dari anatomi lelaki yang mencantikkan, menambah kehormatan dan menghiasi seorang lelaki.(Hanya jika ia dijaga dalam keadaan baik.)

2. Janggut ialah salah satu sifat biologikal semulajadi seorang lelaki, yang mana antara ciri yang membezakan di antara lelaki dan wanita.

3. Sebagai jawaban bagi doa moyang kita Nabi Adam(as), Allah swt telah menjadikan janggut tumbuh sebagai ciri-ciri semulajadi lelaki, yang mana akan terus kekal sebegitu sehingga hari kiamat.
Allamah Majlisi, di dalam Jilid 16 Kitabnya, Bihar al Anwar: Dari Ibnu Mas’ud, bahawa Rasulullah(sawa) bersabda:
“Setelah Allah swt menerima taubat Nabi Adam, Jibril turun kepada beliau dan berkata:
Semoga Allah memanjangkan umur mu dan mengurniakan mu kecantikan”
Adam(as) kemudian bertanya,
“Aku faham dengan maksud memanjangkan umur, tetapi apa pula maksudnya mengurniakan kecantikan?”
Dengan penuh kesyukuran, beliau terus sujud dan setelah mengankat kepalanya, beliau berdoa dan berkata:
“Ya Allah, tambahkanlah kepada ku kecantikan yang telah Kau janjikan”,
Sejurus selepas beliau berdoa, janggut yang cantik tumbuh di muka beliau yang bercahaya. Setelah Jibril menyaksikan apa yang berlaku, beliau menyentuh janggut Nabi Adam as dan berkata:
“Ini adalah respon dari doa yang telah kamu buat kepada Tuhanmu, dan ia telah dianugerahkan kepada kamu dan anak-anak lelakimu sehingga hari Pembalasan”.
Telah dapat dibuktikan dari riwayat ini bahawa kecantikan yang dianugerahkan kepada Adam(as) dalam bentuk janggut akan kekal bersama beliau dan anak cucu beliau sehingga hari pembalasan.
Mencukur janggut secara umumnya dapat diklasifikasikan sebagai antara amalan yang Allah swt haramkan. Amalan ini adalah satu tindakan yang mengakibatkan dosa, yang boleh menyebabkan pelakunya mendapat hukuman dari Allah swt. Ingatlah bahawa Pencipta kita, Maha Mengetahui apa yang terbaik dan apa yang tidak untuk hambaNya.

Sumber Pertama: Kitabullah

Allah swt berfirman:
“Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.(4:119)
Untuk ayat ini dapat dijadikan sebagai asas kepada pengharaman pencukuran janggut, dua aspek perlu diambil kira:
1. 1. Membuktikan bahawa mencukur janggut adalah dikira sebagai “mengubah ciptaan Allah swt”
2. 2. Membuktikan bahawa setiap perubahan yang terjadi kepada setiap ciptaaan dianggap sebagai haram. Kecuali jika “perubahan” itu dibenarkan melalui hukum syariah Islami yang lain
Untuk point nombor satu, tidak dapat dinafikan lagi, sememangnya mencukur janggut, memberi perubahan tidak semulajadi kepada ciptaan Allah swt.

Seperti yang telah kita sebutkan di awal tadi, kemunculan janggut merupakan satu peristiwa ajaib yang telah ditentukan oleh Allah swt. Oleh kerana itu, tiada sesiapa pun selain Allah swt yang mempunyai hak untuk mengubahnya dari segala bentuk.
Tambah menguatkan alasan ini ialah, janggut dianggap oleh Allah sebagai perhiasan dan kecantikan untuk nabiNya Adam(as) dan untuk keturunan lelaki beliau sehinggalah hari pembalasan.
Berdasarkan fakta ini, sebarang perubahan yang tidak alami akan dianggap sebagai Haram mengikut Shariah Islam, kecuali jika terdapat sebarang pengecualian.
Berkenaan aspek kedua, adalah sangat sesuai sekali untuk menafsirkan ayat quran di atas, di bahagian “mengubah ciptaan Allah” sebagai maksudnya, termasuk apa-apa sahaja jenis perubahan.
Bagaimanapun, untuk kes hukum syariah yang lain, seperti berkhatan, memotong kuku,memotong rambut, memotong janggut(bukan mencukur licin, tetapi mengemaskan) dan misai, hukum “mengubah ciptaan Allah” tidak dipakai disini.
KESIMPULAN:
Implikasi dari ayat Quran di atas bermaksud “perubahan fizikal yang tidak alami” dan bukan kepada perubahan yang mendapat pengecualian dari sudut syar’i.
Di dalam Tafsir Al-Qummi, Imam Ja’far Al-Sadiq (AS) memberi penjelasan kepada pengecualian ini.
Allah berfirman:
Dan tidak ada yang lebih baik ugamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut ugama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.(4:125)
Imam Sadiq(as) menerangkan bahawa Allah swt telah menganugerahkan 10 perkara kepada Ibrahim(as) al Hanif(perkara yang menyucikan), 5 untuk bahagian kepala dan 5 untuk badan.
Bahagian Kepala:
1. Memotong Misai
2. Menyimpan Janggut
3. Memotong(mengemaskan) rambut
4. Memberus gigi
5. Membersih gigi dengan benang halus(floss)
Bahagian Badan:
1. Berkhatan
2. Potong kuku
3. Menyucikan badan dengan air
4. Mencukur bulu ketiak dan kemaluan
5. Ghusl(cth. selepas jimak)
10 perkara yang diberikan kepada Ibrahim(as) adalah sama seperti apa yang diterima Adam(as) dalam bentuk janggut..   Perkara yang patut kita sentiasa ingat adalah, kurniaan yang diberikan kepada mereka berdua ini tidak pernah dilupuskan atau ditarik semula, sehinggalah hari kiamat.
Ayat ini menjadi bukti bahawa apa sahaja yang dikurniakan kepada Ibrahim(as) masih kekal kepada Nabi Muhammad(sawa). Ini adalah sebabnya mengapa Muslimin masih mengekalkan amalan yang sama.


Dalam menganalisis riwayat ini dan yang serupa dengannya, seseorang itu akan mendapati sesetengah amalan yang disebutkan di dalam satu riwayat,  boleh dikategorikan sebagai amalan mustahab, manakala dalam riwayat-riwayat yang lain, ia dikategorikan sebagai wajib. Para fuqaha telah bersusah payah mengkaji kesemua riwayat-riwayat ini demi mencapai kesimpulan dengan mengkategorikan setiap hadis yang berkaitan.

Sumber Kedua: As Sunnah

Jababah Al-Walibiyah menyatakan di dalam Al-Kafi:
“Aku melihat Amirul Mukminin di suatu hari, mengadakan rondaan dengan tongkat bercabang dan menggunakannya untuk memukul penjual ikan yang menjual ikan  haram di makan. Dalam masa yang sama beliau(as) berkata kepada mereka: “Wahai penjual ikan, kamu adalah serupa dengan dari kalangan Bani Israil yang bertukar menjadi monyet dan kalian menyerupai mereka yang mencukur janggutnya dan memanjangjan kumisnya, seperti sesetengah tentera dari Banu Marwan(yang berbuat zalim).
(Mereka telah mencukur janggut mereka dan menyimpan kumis mereka)
Tanpa ragu lagi bahawasanya, perawi hadis ini ingin menunjukkan bahawa mencukur janggut adalah haram, dan ini dapat dilihat dari tindakan Amirul Mukminin kepada rakyatnya, yang berhak menegakkan amar maaruf nahi munkar.
Apabila kita meneliti dengan lebih mendalan akan riwayat ini, Amirul Mukminin menyamakan mereka yang mencukur janggut sebagai sama dengan golongan Bani Israel yang mendapat murka Allah dengan menukarkan mereka menjadi monyet, serta mereka turut disamakan dengan tentera Bani Marwan yang berbuat zalim, ini jelas menambah kekuatan pengharaman tindakan ini, dan bukan sekadar makruh atau tidak disukai.
Di dalam kitab Jaafariyyat, Rasulullah(sawa) bersabda:
“Mencukur janggut sesungguhnya adalah satu tindakan yang zalim, dan laknat Allah ke atas orang yang zalim”.
Oleh itu, mencukur janggut adalah satu tindakan kezaliman, dan sudah pasti, berbuat zalim adalah haram di sisi Allah, sehingga melayakkan si pelakunya mendapat murka dan laknat Allah swt. Ini mengutakan lagi hukum haram kepada tindakan ini.
Al-Saduq meriwayatkan satu hadis dari Rasulullah(sawa):
“Nipiskan kumis mu, dan biarkan panjang janggut mu, serta jangan mengikut orang Yahudi”
Riwayat hadis ini dalah sahih samada di sisi Sunni atau Syiah. Mengikut prinsip Usul al Fiqh, ayat ini menunjukkan satu perintah yang wajib diikuti dan juga larangan yang perlu dijauhi(al Amr dan Nahi), yang menyiratkan bahawa tindakan itu adalah haram. Tambahan pula, apabila melanggar larangan Rasul akan dikategorikan seperti mengikuti musuh-musuh Islam, yakni, Yahudi dan kaum Kuffar
Di dalam kitab Al Muntaqa, telah dirawikan diwayat berikut: Kisra telah menghantar dua orang dutanya kepada Rasulullah(sawa). Apabila mereka sampai, baginda melihat misai mereka sangat panjang dan tiada janggut, lalu baginda bersabda kepada mereka:
Celakalah kamu tentang apa yang telah kamu lakukan” (mencukur janggut).
Mereka berkata: “Tuan kami mahukan seperti ini”,Nabi(sawa) kemudian bersabda:
“Tuan ku, subhanahu wa taala mahukan aku menipiskan misai dan memanjangkan janggut.”.
Jelas, bahawa adalah menjadi satu PERINTAH Allah, yang mahukan kita menipiskan misai dan memanjangkan janggut.
Allah swt berfirman tentang betapa mengikatnya apa yang diperintahkan oleh Nabi(saw):
“Apa sahaja yang diberikan oleh Rasul, ambillah & apa sahaja yang dilarang, jauhilah”.
Di dalam kitab Bihar al Anwar, Imam Musa al Kazim(as) pernah di tanya:
“Adakah lebih baik jika kita menjaga janggut?”
Beliau berkata: “Ya”,
Mereka bertanya kembali: “Adakah dibenarkan untuk mencukur janggut?”,
Imam(as) menjawab: “Adalah dibenarkan mencukur di sisi muka, tetapi haram di dagu”.
Nota: Terdapat banyak lagi riwayat hadis yang menunjukkan haramnya mencukur janggut, jika mahu meneliti dengan lebih lanjut, maka boleh lah merujuk Wasail al Shia, bab Pengharaman Mencukur Janggut. InsyaAllah, dalam artikel berikutnya, saya akan kupakan dari sudut Ijmak Ulamak dan Akal.
Berikut ialah fatwa marja’ Taqlid berkaitan mencukur janggut.
Faqih Fatwa
Al-Majlisi Haram
Al-Majlisi the second Haram
Kashif Al-Ghita’ Haram
Al-Mirza Al-Kabir Shirazi Haram
Al-Shaykh Al-Hairi Haram
Abu Al-Hasan Isfahani Haram
Al-Burugardi Haram
Abd Al-Hadi Shirazi Haram
Muhsin Al-Hakim Haram
Abu Al-Qasim Al-Khui Ihtiyat Haram
Abu Al-A’Ala Al-Sabzwari Haram
Sayyid Muhammad Baqir Al-Sadr Haram kecuali:-
· Taqiyyah
· Urusan kesihatan
· demi maruah Islam
Dan ini saya ambil dari fatwa Imam Khamenei.
Mencukur Janggut  Q1399: Bahagian manakah yang janggut wajib di simpan? Adakah termasuk dengan dagu?
A: Kritera utamanya adalah bahagian yang mana pandangan urf(umum) mengatakan ia adalah janggut.
Q1400: Berapakah panjang maksimum dan minimum yang diperlukan untuk janggut itu?
A: Tiada ketetapan dalam panjangnya. Kriterianya adalah berdasarkan pandangan urf yang mengiktiraf itu adalah janggut. Bagaimanapun adalah sangat tidak disukai untuk membiarkan ia labih panjang dari genggaman tangan..
Q1401: Adakah dibenarkan memanjangkan misai dan memendekkan janggut?
A: Tiada mudharat dalam hal itu.
Q1402: Sesetengah orang membiarkan janggut di dagu panjang, dan mencukur selebihnya bahagian lain, apakah hukum untuk amalan ini?
A: Hukum mencukur sebahagian janggut adalah sama dengan hukum mencukur keseluruhan janggut.
Q1403: Adakah mencukur janggut satu dosa?
A: Berdasarkan ihtiyat wajib, mencukur janggut adalah haram. Oleh itu sebagai ihtiyat ia dikira sebagai satu dosa.
Q1404: Bolehkah mencukur misai? Adakah dibenarkan membiarkan ia panjang?
A: Tiada masalah dalam keduanya. Bagaimanapun makruh jika ia dibiarkan panjang sehingga terkena makanan dan minuman ketika makan.
Q1405: Bagaimana dengan seorang pelakon yang terpaksa mencukur licin janggutnya demi kerja lakonannya?
A: Jika mencukur itu, dilihat secara urf sebagai mencukur janggut, maka sebagai ihtiyat wajib haram. Bagaimanapun jika kerja lakonannya penting untuk agama, maka dibenarkan mencukur sesuai dengan keperluan kerja itu.
Q1406: Sebagai seorang PR di sebuah syarikat, saya perlu memberikan alatan mencukur kepada tetamu kami, adakah ia dibenarkan?
A: Sebagai ihtiyat, haram membeli dan memberikan kepada orang lain alatan mencukur melainkan melainkan ia menjadi satu keperluan
Q1407: Apakah hukumnya, jika menyimpan janggut menyebabkan kesusahan?
A: Sebagai seorang Muslim, menyimpan janggut sepatutnya tidak menyebabkan rasa malu atau rendah diri. Sebagai ihtiyat, haram mencukurnya, kecuali jika menyimpan janggut itu menyebabkan kesusahan yang tidak dapat ditanggung, dan membahayakan
Q1409: Apakah hukumnya membeli dan menjual krim mencukur yang juga mempunyai kegunaan yang lain, selain dari mencukur itu tadi?
A: Tiada masalah jika ia dijual dan dibeli dengan niat tersebut.
Untuk mengetahui lebih lanjut, boleh rujuk risalah a’maliyyah marja’ masing-masing

Nota Ibnu Azmi:

1. Pandangan urf, bermaksud pandangan umum masyarakat terhadap sesuatu. Di Iran misalnya, pandangan urf di sana mengatakan bahawa “sideburn” rambut di sisi muka sebagai janggut, maka orang Iran haram juga mencukur licin rambut di sisi muka mereka, manakala, di Malaysia, pandangan Urf memanggil rambut di sisi muka sebagai sideburn, dan bukan janggut, maka dibenarkan mencukur bahagian itu.(Merujuk kepada penerangan Ustaz Shamsul Bahar)

2. Berdasarkan soalan saya kepada Ustaz Shamsul Bahar, mencukur di sini bererti mencukur licin, sehingga tidak nampak lagi kesan-kesan Janggut.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar